Saturday, November 10, 2007

selamat mendakap awan, sang naga!

dia sudah pulang dan kembali menjadi buih-buih lautan
naga aku itu sudah bersatu bersama tentera-tentera pasir
pada sekejap dulu dia menjadi cinta merahku yang tersimpan
kini berpatah ke dasar air terus terbang ke langit petir

dia tak akan mahu berbalik ke dakapanku yang kecil
dengan bisa bahasa bibir yang menghalaunya pergi
telah ku herdiknya menjauh dengan ketap gigi menggigil
ku agungkan dunia dan ku pekikkan inginku menyepi

nagaku terbang tanpa sedikit pun menoleh simpati
pada aku yang berpura ketawa saat kamu pergi perlahan
semoga kamu terus bernyanyi berpimpin mentari
lagu rahsia kita yang sentiasa kita siulkan sendirian

maaf naga, tidak mungkin kita disatukan di mata sedar
maaf nyaringku menghalilintar pujukan rayu dulu
bibirku yang kaku memberi senyum tika kau beredar
aku bukan milik kamu di sini, cuma di pejaman matamu

berpalinglah sayang, wahai naga sakti jemala hati patik
tunjukkan mata kamu yang indah dan sentiasa ku cumbu
jelingan itu terlalu bisa dari alis kamu yang begitu cantik
mahu aku tatap terakhiran kalinya, janji ku takkan rayu

kerana aku mau tau bahawa cinta merah kita masih ada
di jiwa ini.
kerana mungkin rasa itu tebal dan agung, cuma didiamkan.
di hati ini.

selamat mendakap alam, naga aku.

sumthin i wrote, a sequel to naga dan dermaga II

No comments: